Penampilan Syair Perahu Karya Hamzah Fansuri dan Gurindam Barus - Siniang Online

Hot

Post Top Ad

Senin, 30 April 2018

Penampilan Syair Perahu Karya Hamzah Fansuri dan Gurindam Barus

SINIANG ONLINE -- Hamzah Fansuri ialah seorang penyair yang dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Utara. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur.

Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Ia menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang.

Hamzah Fansuri adalah pengembang Tarekat Wujudiyah. Fahaman ini beranggapan bahawa segala makhluk itu pada asasnya esa, kerana wujud daripada zat Allah.

Dalam hujahnya menerusi kitab-kitab ini, terkesan bahawa Hamzah terpengaruh dengan faham Ibn Arabi, ahli tasauf yang masyhur pada akhir abad ke-12 dan awal abad ke-13.

Bagaimanapun, tarekat Wujudiyah ini kemudiannya ditentang hebat oleh Nuruddin ar-Raniri yang mengatakan Tuhan kekal tidak terjejas dari ciptaannya.

Tidak diketahui secara pasti tarikh hasil karyanya itu ditulis kerana tidak ada catatan tentangnya. Yang diketahui ialah bahawa Hamzah Fansuri menghasilkan karyanya itu pada masa Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam memerintah Aceh dalam tahun 1606-1636 M. Berdasarkan ini, dapatlah dikatakan bahawa karyanya itu tercipta pada awal abad ke-17. Ia menghasilkan beberapa buah syair dan prosa. Perhatikan bahasa yang terdapat dalam petikan 'Syair Perahu'nya ini:

Inilah gerangan suatu madah
Mengarangkan syair terlalu indah
Membetuli jalan tempat berpindah
Di sanalah i'tikad diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu
Ialah perahu tamsil tubuhmu
Tiadalah berapa lama hidupmu
Ke akhirat jua kekal diammu

Hai muda arif budiman
Hasilkan kemudi dengan pedoman
Alat perahumu jua kerjakan
Itulah jalan membetuli insan

Dengan penggunaan bahasa yang indah dan dengan perumpamaan yang sederhana, Syair Perahu ini pada suatu masa menjadi sebutan orang ramai. Ia digunakan oleh ibu bapa untuk menasihati anaknya agar mentaati ajaran Islam.






Gurindam Barus

Gurindam berasal dari bahasa Tamil (India),  kirindam, yang berarti ‘mula-mula amsal, perumpamaan’. Atau dalam bahasa Sanskrit, dimaknai sebagai ‘rangkap yang menjadi bidalan’. Gurindam terdiri dari dua larik dalam satu bait bersajak a-a. Walaupun dua larik, sebenarnya gurindam merupakan satu kalimat, seperti sebuah kalimat majemuk, dengan hubungan sebab-akibat atau syarat-hasil untuk masing-masing larik.

Gurindam pada umumnya berisi nasihat. Pada contoh Gurindam yang sangat dikenal masyarakat dan diajarkan di sekolah-sekolah, yaitu Gurindam 12 karya Raja Ali Haji (1808-1873) tampak jelas ayat-ayat nasihat bagaimana agar hidup selamat dunia akhirat yang dikelompokkan dalam dua belas tema. Takheran jika di daerah asalnya, Sumatera, Gurindam lebih dikenal dengan sebutan Muslihat Aceh, Gurindam Barus, dan Lagak Minang.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar